Saturday, October 31, 2009

PENDIDIKAN NEGARA MALAYSIA

Pendidikan yang akan membentuk sifat warga dalam pembangunan mana-mana negara. Falasafah Pendidikan menentukan halatuju serta penghasilan dari dasar yang digubal atas huraian falasafah tersebut. Sistem Pendidikan Negara telah melalui beberapa fasa dari pra penjajahan sehingga post penjajahan. Sistem kini dibina atas perakuan Penyata Razak yang disusul dengan Laporan Rahman Talib. Laporan Mahathir yang lebih dikenali dengan Laporan Kabinet Pendidikan juga menyerlahkan agenda pendidikan Negara. Laporan Anwar yang juga dikenali sebagai Laporan Kabinet mengenai Latihan turut merangsang beberapa pendekatan pengendalian latihan Negara.

Kementerian Pendidikan pada awal 90-an telah mengungkap secara tersurat Falasafah Pendidikan Negara. Pendidikan untuk melahirkan Insan Kamil natijah dari proses pendidikan yang berpaksikan tuhan. Kurikulum Bersepadu diperkenalkan untuk melengkapkan hasrat dan cita-cita melahirkan insan kamil yang seimbang. Kepelbagaian aliran pendidikan adalah hakikat suasana negara yang diiktiraf dengan kepelbagaian jenis sekolah yang ada dinegara ini. Saya kira ia memperkaya budaya ilmu negara kalau diambil secara yang positif.

Untuk menjadikan Pendidikan Negara satu aliran adalah sesuatu yang perlu kepada penghujahan yang mendalam. Umat dalam negara ini mengekalkan kehidupan beragama kerana kewujudan sistem pendidikan pondok. Peranan Sistem Pendidikan Pondok dan sistem pendidikan melayu telah dipinggirkan secara sistematik melalui pengiktirafan dan penempatan dalam tangga kerjaya dan peranan dalam arus socio ekonomi negara. Sistem pendidikan pondok yang sewajarnya menjadi aliran pendidikan terunggul negara dengan transformasi kaedah pengajaran dan sistem pengurusannya. Sistem yang bertunjangkan aqeedah bagi membina warga yang bertaqwa adalah sistem sejagat yang perlu dinobatkan sebagai sistem arus perdana negara.

Saya kira sistem yang bertunjangkan aqeedah meraikan kepelbagaian aliran pendidikan selagi mana ia akur dan mengiktiraf kesatuan manusia sebagai makhluk yang dicipta. Sejarah manusia dipaksikan kepada sejarah Nabi Adam as menjadi kurikulum induk yang diasuh dan dididik pada semua warga. Lahir kesatuan sebenar yang menerima perbezaan tetapi mengetahui misi kehidupan sebenar. Kini yang diraikan pemikiran darwinian dan lain-lain mazhab liberalis maka wujud dichotomy pada anak-anak.

Dichotomy budaya dan kepercayaan merencat perkembangan minda dan pemikiran. Justeru itu lahirlah para akadamis yang mampu plagiat dan tidak menghasilkan gedung ilmu unggul yang terbilang. Lahir graduan yang mengejar habuan kebendaan dan hilang tanggungjawap sosial dalam fabrik pembangunan negara. Iltihzam pembaharuan sejati hanya dapat dirangsangkan dari paduan ilmu yang menghendaki manusia mengiktiraf ia dilahirkan untuk mendamba diri pada yang Esa.

Rumusannya pada hemat saya bukan masanya berbicara tentang satu aliran pendidikan negara. Pertama dan utama ialah bagaimana mempertabatkan pendidikan yang telah berjaya menyuburkan roh merdeka yang dizahirkan dalam usaha memerdekakan negara ini. Sistem pendidikan Islam dimertabatkan bagi memperkasa Sistem Pendidikan Negara. Kita bimbang apabila warga yang dilahirkan lebih mirip untuk menggadai maruah negara atas kelangsungan kepentingan sempit semasa. Wallahualam.

No comments: